Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Jumaat, 18 Januari 2013

Teknik Mengelakkan Unsur Klise Dalam Karya

Oleh: Tuan Azlan Ismail (penulis Eee... Sayur!)
 
Kajian kes yang dibuat terhadap novel Nota Untuk Nurlissa
Bab 1: Setelah kembali
Setelah memandang sekeliling sambil mengamati daerah terpencil yang akan ditinggalkan ini. Daerah yang dipenuhi dengan kehijauan desa yang mampu membuatkan hati berasa damai. Pada waktu-waktu petang begini, dia dan ustazah Aishah akan berdiri di tepi bendang mengamati keindahan alam ciptaan Allah yang Maha Esa sambil menanti saat indah tergelincirnya matahari senja.

Ustazah Aishah mengucup lembut dahi Nurlissa lalu berkata, “Selamat jalan. Hidup adalah perjuangan. Semoga kamu akan menang dan berjaya kelak.”
Nurlissa mengangguk penuh pasti. Air matanya menitis dengan deras. Berat sungguh baginya untuk memulakan langkah kaki yang pernah tersungkur di suatu lembah yang sangat gelap itu.

####
Di atas adalah babak permulaan sebuah novel yang klise.

Permulaan sebuah novel adalah begitu kritikal. Faktor yang menangkap pembaca terus membaca atau meletakkan kembali novel tanpa membukanya lagi berdiri atas dasar ini. Walaupun bab yang lainnya sangat menarik, tetapi apabila ‘pandangan pertama’ sudah dibuktikan bersalah ia tetap tidak berjaya menarik pembaca untuk membelinya. Maka faktor ini perlu diambil kira sebagai satu faktor yang amat penting dalam sektor penerbitan karya kreatif.

Perhatikan unsur klise dalam babak di atas, dan idea mengindahkannya.
Di atas adalah babak permulaan yang amat klise.

1.      Pengenalan watak Nurlissa
Nurlissa berdiri di tepi bendang yang terbentang luas bersama Ustazah Aishah. Matanya tidak berkedip memerhatikan sekawan burung yang sedang bergurau di celahan daun padi. Namun, selepas matanya terarah kepada kehijauan padi yang luas terbentang di hadapan matanya itu hatinya berasa damai. Masih kekal berdiri bersama Ustazah Aishah di tempat yang sama, wajahnya tidak bereaksi, tidak ada walau segaris senyum.

·        Penulis perlu menyentuh emosi pembaca dengan menggambarkan emosi Nurlissa yang sedang bersedih, biarkan pembaca ketahui beliau bersedih kerana perlu meninggalkan kampungnya pada perenggan seterusnya.
2.      Dialog memujuk 
Ustazah Aishah mengucup lembut dahi Nurlissa lalu berkata, “Selamat jalan. Hidup adalah perjuangan. Semoga kamu akan menang dan berjaya kelak.”

Dialog, “ Selamat jalan. Hidup adalah perjuangan. Semoga kamu akan menang dan berjaya kelak,” adalah amat klise. Ia sudah digunakan oleh banyak penulis. Gunakan kaedah memujuk selain dengan, “Selamat jalan. Hidup adalah perjuangan. Semoga kamu akan menang dan berjaya kelak,” kepada orang yang mahu ditenteramkan hatinya.

Penulis perlu mengelakkan dialog yang berunsur sangat konvensional ini. Pembaca sudah berubah, citarasa mereka amat tinggi.

“Tuhan sayangkan kamu, ibu bapa dan keluarga kamu juga amat sayangkan kamu. Manusia yang kuat hatinya adalah manusia yang sentiasa bersabar,” kata Ustazah Aishah sambil mengucup dahi Nurlissa yang masih berkerut itu.

3.      Benarkan pembaca berfikir
Nurlissa mengangguk penuh pasti. Air matanya menitis dengan deras. Berat sungguh baginya untuk memulakan langkah kaki yang pernah tersungkur di suatu lembah yang sangat gelap itu.

Pembaca sedia bijak dan boleh berfikir tanpa perlu penulis memberitahu mereka, apa yang sedang berlaku. Penulis dapat memberi kesedapan cerita kepada pembaca dengan membenarkan mereka sendiri berimaginasi melalui teks yang ditulis.
Ayat di atas, dapat dituliskan semula menggunakan ayat naratif aksi dan dialog yang menggambarkan situasi kesedihan Nurlissa.

Tiba-tiba, air mata mengalir di pipi Nurlissa. Dengan suara tersekat-sekat, dia berkata perlahan, “Saya amat sayangkan kampung ini, semua penduduk kampung ini sudah menjadi keluarga saya.” (Nurlissa bersedih kerana tidak sanggup untuk meninggalkan kampung itu.)
Ustazah Aishah memeluk Nurlissa lebih erat, sambil mengusap kepala pelajar kesayangannya itu. (‘pelajar kesayangannya’ itu sebagai pengenalan usia Nurlissa.)

4.      Aksi dalam naratif yang biasa-biasa sahaja ( tidak indah )
Sebagai contoh dalam perenggan ke-6 ‘Nota Untuk Nurlissa’ – Nurlissa tertunduk pasrah. Alhamdulillah! Air matanya tercurah deras. Dia berazam untuk tidak kalah kali ini.

Ayat ini tidak perlu ditulis semula kerana pada point 3 sudah ada ayat yang menceritakan tentang kesedihan Nurlissa. Pada babak permulaan novel ini terdapat lebih kurang 6 kali penulis menceritakan tentang babak kesedihan yang berulang-ulang yang sekali gus amat membosankan pembaca.
5.      Pengulangan yang membebankan pembaca

Pada muka surat 10 perenggan yang ke-6: Hati kak long terusik. “Allah telah berikan Alis ujian. Allah juga kirimkan kekuatan untuk Alis menghadapi ujian itu. Alis pasti mampu menghadapinya.”
“Allah telah berikan Alis ujian. Allah juga kirimkan kekuatan untuk Alis menghadapi ujian itu.

Dua point yang sama, sudah disebut dalam dialog, diulang pula pada naratif.

“Allah telah berikan Alis ujian." Ini adalah ayat memotivasikan Nurlissa supaya bersabar dalam kehidupannya. Pembaca sudah boleh faham maksud dialog ini. Tidak perlu diterangkan lagi dalam naratif kekuatan untuk Alis menghadapi ujian itu.

Pengulangan sebegini boleh mendatangkan kebosanan kepada pembaca.
NOTA: Pada pandangan saya antara faktor yang membolejkan buku kreatif diulang cetak adalah dengan mengatasi 5 faktor ini. Masih banyak lagi faktor yang boleh kita sama-sama kaji untuk memastikan buku kreatif dakwah mampu survive dalam pasaran terutamanya dialog yang terlalu mengajar-ajar pembaca supaya jadi baik. Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan